Pengikut laman ini

Sunday, May 18, 2008

Latihan Rumusan 2 STPM

Latihan Rumusan 2
Fahami petikan di bawah ini, dan kemudian rumuskan petikan ini dengan padat dan ringkas tanpa menjejaskan isi kandungannnya. Rumusan hendaklah dibuat tidak lebih daripada tiga perenggan dan panjangnya antara 170 - 180 patah perkataan. Jumlah perkataan dalam jawapan hendaklah ditulis pada akhir jawapan.
[ 20 markah ]

Sebagai bencana alam, banjir memang tidak dapat dielakkan. Perkara ini memang biasa berlaku di kawasan rendah di negari-negeri Pantai Timur setiapkali musim tengkujuh tiba. Hujan lebat yang turun dengan tidak berhenti-henti selama beberapa hari menyebabkan sungai-sungai tidak dapat menampung air dan terjadilah banjir. Ombak besar di Laut China Selatan juga memburukkan lagi keadaan bencana alam yang bermusim ini. Namun demikian, fenomena yang sering terjadi di beberapa kawasan rendah di Lembah Kelang sejak akhir-akhir ini tidak boleh dianggap sebagai bencana alam secara semula jadi. Hal ini demikian kerana banjir tersebut tidak bermusim dan boleh dielakkan. Jika semua pihak prihatin dan mematuhi peraturan alam sekitar, Kuala Lumpur tidak akan dilanda banjir kilat hanya kerana hujan lebat selama dua atau tiga jam. Kadang-kadang hujan lebat tidak sampai sejam pun tetapi pasti menyebabkan beberapa jalan utama di pusat bandar raya terputus akibat ditenggelami oleh air.

Banjir kilat di Kuala Lumpur dan juga di beberapa kawasan rendah di Lembah Kelang bukanlah merupakan masalah baru. Sejak sekian lama warga kota berasa bimbang setiap kali apabila langit mendung. Hujan lebat akan menyebabkan beberapa jalan utama ditenggelami air, dan terjadilah kesesakan lalu lintas yang boleh menggendalakan setiap urusan. Banjir kilat boleh menjejaskan peniaga dan penjaja kecil di pasar malam. Lebih malang lagi, bajir kilat boleh membawa selut dan lumpur ke dalam rumah dan merosakkan harta benda.

Masalahnya ialah semua pihak sudah seperti tidak prihatin terhadap punca banjir kilat. Kita nampaknya terlalu ingin untuk membangun dengan cepat, sehingga melupakan ciri-ciri untuk memelihara dan menjaga alam sekitar. Kita bangga untuk menegakkan batu-bata dan besi demi menunjukkan keupayaan untuk mencakar langit tetapi tidak prihatin terhadap usaha-usaha untuk mengekalkan alam sekitar dan keindahan bumi. Kita asyik membangun, tetapi mengetepikan peraturan-peraturan alam sekitar. Dalam kes banjir kilat di Kuala Lumpur, salah satu faktor yang telah dikenal pasti sebagai penyebabnya ialah kegagalan pihak pemaju atau kontraktor untuk mematuhi peraturan tentang alam sekitar, termasuk usaha untuk mencegah banjir kilat. Pihak pemaju lebih mementingkan aspek keuntungan dan tidak mengambil berat tentang peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Projek-projek pembangunan dilaksanakan tanpa sistem perparitan yang sesuai. Sungai dan saliran lain ditimbus, tanpa menyediakan laluan alternatif untuk air mengalir. Tembok halangan banjir dibina dengan tidak menepati syarat dan kesesuaian yang telah ditetapkan.

Pihak berkuasa seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Pengairan dan Saliran gagal memantau projek-projek pembangunan, menyebabkan pihak pemaju berani mengetepikan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan. Sesetengah pemaju memang telah menunjukkan sikap ”kurang ajar” tetapi tidak ada tindakan tegas yang dikenakan terhadap mereka. Dalam waktu yang sama, sungai dan saliran di kawasan yang terlibat tidak pula diselia dengan baik walaupun peruntukan berjuta-juta ringgit telah diluluskan setiap tahun untuk kerja-kerja membersih sungai dan saliran.
Selain itu masyarakat sendiri pun tidak prihatin dan terus melakukan amalan-amalan yang tidak baik yang boleh menyumbang kepada masalah banjir di kawasan bandar. Sikap orang ramai yang suka membuang sampah di merata-rata tempat merupakan salah satu punca yang menyebabkan banjir kilat. Sampah yang dibuang ke dalam longkang boleh menyekat longkang, menyebabkan air tidak dapat mengalir dengan lancar, dan akhirnya terjadilah banjir. Sistem perparitan dan longkang mudah tersumbat jika setiap hari ditimbuni dengan segala macam sampah.

Sebenarnya, banjir kilat boleh diatasi sekiranya semua pihak mematuhi peraturan-peraturan untuk memelihara alam sekitar, pihak berkuasa menguatkuasakan undang-undang dengan sempurna. Orang ramai pula perlu mengubah sikap dan membaiki tabiat buruk mereka yang boleh menyebabkan berlakunya banjir kilat. Sesungguhnya, banjir kilat bukanlah masalah alam tetapi bencana yang berpunca daripada kesilapan manusia sendiri.

(Diubahsuaikan daripada Mengapa Banjir Kilat Kerap Melanda
Bandar Kita, oleh Abd. Jalil Ali, Dewan Masyarakat, Jun 2000)

No comments: