Pengikut laman ini

Saturday, January 28, 2012

Esei Berformat Memorandum - Isu Filem Seram, Tahyul dan Ganas

Soalan Contoh
Pertubuhan yang anda wakili kurang bersetuju dengan trend syarikat pengeluar filem yang lebih cenderung untuk menghasilkan filem yang bercorak seram, tahyul dan ganas pada masa ini. Perkara ini berlaku kerana sambutan yang diberikan oleh masyarakat di negara ini memang sungguh menggalakkan. Anda diminta untuk menyediakan memorandum yang berkaitan dengan bantahan terhadap lambakan filem seram, tahyul dan ganas ini di negara kita.

Rangka Karangan
                  Memorandum
Kepada :
Daripada :
Tajuk :

1.0 Pendahuluan
2.0 Pernyataan Masalah
3.0 Bantahan Terhadap Perkara Tersebut
      3.1 Mempengaruhi emosi remaja
      3.2 Menjejaskan akidah dan kepercayaan
      3.3 Memberikan impak yang buruk terhadap kemajuan
      3.4 Melahirkan masyarakat yang ganas dan mempercayai 
            kepercayaan karut
4.0 Cadangan Tindakan
      4.1 Mengenakan Syarat Tapisan yang Ketat
      4.2 Membimbing anak-anak ketika menonton 
5.0 Penutup
- ibu bapa dan anggota masyarakat yang prihatin perlu mencegah perkara ini.

Karangan Contoh

Memorandum
Kepada : Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan
Daripada : Pertubuhan Pencinta Seni
Tajuk : Bantahan Terhadap Lambakan Filem Seram, Tahyul dan Ganas di Negara Kita.

1.0 Pendahuluan
Akhir-akhir ini wujud satu trend baharu iaitu kita disogokkan dengan filem yang berunsur seram, tahyul dan ganas. Perkara ini sudah tentu akan mendatangkan impak yang negatif terhadap remaja dan kanak-kanak. Hal ini demikian kerana, golongan yang suka menonton filem yang bercorak sedemikian ialah golongan remaja dan kanak-kanak. Mereka mudah dipengaruhi oleh unsur-unsur seram, tahyul dan ganas yang terdapat dalam adegan filem tersebut. Kerjasama dan perhatian daripada pihak atau agensi yang bertanggungjawab amat penting untuk menangani permasalahan ini.

2.0 Pernyataan Masalah
Berhubung dengan masalah di atas, kami sebagai ibu bapa yang prihatin daripada Pertubuhan Pencinta Seni ingin melahirkan rasa kebimbangan kami ini agar mendapat perhatian dan pertimbangan yang wajar daripada pihak Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan. Perkara ini tidak boleh dibiarkan berterusan kerana kesannya akan mempengaruhi remaja yang akan menjadi pemimpin negara kita pada masa akan datang. Salah satu punca yang dikenal pasti menyebabkan remaja menggemari filem yang bercorak sedemikian ialah filem itu berupaya untuk menghiburkan dan memberikan kepuasan kepada mereka yang menontonnya.

3.0 Bantahan Terhadap Perkara Tersebut
      3.1 Mempengaruhi emosi remaja
     Kami, ahli-ahli Pertubuhan Pencinta Seni bersepakat dan bersatu hati ingin menyatakan bantahan kami terhadap filem-filem yang bercorak seram, tahyul dan ganas yang sering disiarkan di pawagam dan di televisyen. Perkara ini tentunya akan mempengaruhi emosi remaja yang belum matang.  Emosi mereka akan terganggu dan menyebabkan masalah ketidakstabilan emosi akibat pengaruh filem tersebut.
       3.2 Menjejaskan akidah dan kepercayaan
       Filem-filem yang bercorak sedemikian juga boleh menjejaskan akidah dan kepercayaan mereka terhadap agama. Kemungkinannya mereka akan mempercayai unsur-unsur yang terdapat dalam filem itu melebihi kepercayaan mereka terhadap Allah. Perkara ini akan menghakis keimanan dan kepercayaan mereka terhadap keesaan Tuhan. Kesan seterusnya, pegangan mereka terhadap agama akan menjadi longgar dan mereka mungkin mempercayai kuasa lain yang melebihi kekuasaan Allah.
       3.3 Memberikan impak yang buruk terhadap kemajuan
    Unsur-unsur daripada filem yang bercorak sedemikian yang ditonton oleh remaja terutamanya memberikan impak yang buruk terhadap kemajuan. Hal ini dikatakan demikian kerana pengaruh daripada filem itu tidak mendatangkan kesan atau impak yang baik untuk dicontohi, malahan mereka lebih cenderung untuk mencuba perkara yang negatif. Mereka akan percaya dan menyebabkan mereka leka dengan unsur-unsur yang terkandung dalam filem tersebut. Seterusnya, perkara ini mengundang bahaya kerana mereka mempercayai perkara-perkara mistik dan keganasan dalam kehidupan seharian.
      3.4 Melahirkan masyarakat yang ganas dan mempercayai kepercayaan karut
    Pengaruh daripada filem itu berupaya atau berpotensi untuk membentuk masyarakat yang ganas dan mempercayai kepercayaan karut. Hal ini demikian kerana, para remaja mudah terpengaruh oleh unsur-unsur yang terdapat dalam filem-filem tersebut. Mereka yang masih belum matang akan meniru aksi, gaya, atau perlakuan pelakon-pelakon filem tersebut. Gaya atau aksi ganas dalam filem itu akan diaplikasikan terhadap rakan-rakan di sekolah. Seterusnya perkara ini akan berakar umbi dalam hati dan jiwa mereka hinggalah mereka dewasa.

4.0 Cadangan Tindakan
      4.1 Mengenakan Syarat Tapisan yang Ketat
         Berdasarkan impak negatif yang banyak daripada filem-filem tersebut, kami menyarankan pihak kementerian mengenakan syarat tapisan yang ketat terhadap produser filem. Perkara ini dapat menghalang impak negatif tersebut daripada menular dalam jiwa para remaja yang menontonnya. Pihak kementerian perlu menyediakan garis panduan yang perlu dipatuhi oleh pihak pengeluar filem agar tidak menjejaskan emosi dan kepercayaan remaja. Syarat tapisan yang ketat itu perlulah dikaji terlebih dahulu dan mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak yang berkaitan dengan filem.
      4.2 Mengenakan denda atau hukuman yang berat 
        Kami mencadangkan supaya pihak kementerian mengenakan denda atau hukuman yang berat kepada pengeluar filem yang gagal mematuhi garis panduan tersebut. Hal ini dirasakan penting untuk mengelakkan para remaja kita daripada terkena impak negatif filem-filem tersebut. Denda dan hukuman yang berat itu sekurang-kurangnya akan menakutkan pengeluar filem yang lain untuk melanggar garis panduan yang telah ditetapkan itu. Sebagai contohnya, pengeluar filem yang melanggar peraturan yang ditetapkan boleh dikenakan hukuman penjara mandatori agar dia tidak dapat mengeluarkan filem yang sama.

5.0 Penutup
Sebagai ibu bapa dan anggota masyarakat yang prihatin, kami perlu mencegah perkara ini daripada menjadi lebih serius. Perkara ini penting kerana filem seram dan ganas itu memberikan impak yang besar dalam pembentukan sahsiah, nilai-nilai murni dan jati diri para remaja. Oleh itu, kami menggesa semua pihak yang bertanggungjawab agar mempertimbangkan permasalahan ini dan bertindak dengan tegas terhadap pengeluar filem yang tidak mematuhi spesifikasi yang telah digariskan. Unsur-unsur seram, tahyul, dan ganas yang berlebihan perlulah ditapis terlebih dahulu oleh agensi yang bertanggungjawab dalam penapisan filem ini demi kemajuan bidang perfileman negara kita.



_____Mohamad Haziq____                                                   Tarikh : 20 Januari 2012           
(MOHD HAZIQ SYAKIR)
Pengerusi Pertubuhan Pencinta Seni
Teluk Intan, Perak                                                                        


10 comments:

nurul said...

a great essay

Anonymous said...

alhamdulillah ... amat membantu. terima kasih... info yang sangat berguna dalam menyiapkan kerja kursus saya :)

Unknown said...

terima kasih

Unknown said...

Masehh nohh

Unknown said...

Saya RIZFa

Unknown said...

Uiii srs ak RIZFa

Unknown said...

Maseh sebab telah banyak mmbantu riz menghilang kan stress pda mlm ni huhuhu...

Unknown said...

Tq bnyak membantu saya

Unknown said...

Patut lah film malaysia tak best..kalau genre horror mesti kena ada lawak kn 😂..

Unknown said...

Good esssay